JELEBU: “Apabila diamati, saya percaya ia tuala wanita,” kata pekedai, Mohd Ifzal Dzulkiffli, 31, yang terkejut apabila menemui tuala wanita di dalam peket minyak masak yang diterimanya di Kampung Titi, Kuala Klawang, di sini.

Mohd Ifzal berkata, minyak masak seberat satu kilogram (kg) itu diterima daripada pemborong dua bulan lalu, namun berikutan tidak sahih ia adalah tuala wanita dia tidak membuat laporan.

“Bagaimanapun, selepas berfikir kejadian ini mungkin terjadi kepada orang lain, saya bertindak melaporkan kepada pihak berwajib.

“Saya mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak berkenaan berikutan ini membabitkan soal kesihatan dan kebersihan,” katanya.

Menceritakan penemuan mengejutkan itu, Mohd Ifzal berkata, perkara itu terjadi apabila seorang pelanggan mahu membeli minyak masak datang ke kedainya.

“Wanita itu mengambil minyak masak dan meletakkannya di kaunter bayaran.Mujur saya sempat melihatnya dan menggantikan yang lain, kalau tidak busuk nam kedai ini sekiranya pelanggan tahu saya menjual barangan makana yang kotor,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Menurutnya dia pernah mengadukan masalah itu kepada pihak pengeluar jenama minyak masak berkenaan namun tidak diendahkan.

‘Saya memberitahu pihak pihak atasan syarikat berkenaan hal itu, tetapi mereka mahu ‘menawarkan’ lima kotak minyak masak peruma kalau saya menutup mulut.

“Saya tidak menerima tawaran itu dan akan membawa perkara ini ke muka pengadilan.” katanya.

Katanyya, jenama minyak masak itu dipercayai hanya untuk edaran di negeri Sembilan sahaja.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan, Mohd Talal Abu Bakar berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

“Saya nasihatkan pekedai itu tampil ke pejabat kami supaya pihak PPDNKK dapat bertindak dan melakukan siasatan sewajarnya.

“Kalau betul dakwaan mangsa, berkemungkinan dia mendapat ganti rugi daripada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Mohd Talal berkata, pihaknya juga akan menyiasat tiga pihak berkenaan iaitu pengilang, pengedar dan pembungkus minyak masak itu.

“Saya meminta pengguna jika mempunyai sebarang aduan supaya disalurkan ke talian hotline kami iaitu 1800-88-6800,” katanya.

Advertisements