SEGAMAT: “Saya berharap orang ramai tidak salah faham. Selagi hayat dikandung badan, saya tetap menjaga abang walaupun dia sudah 10 tahun hidup merangkak di bawah kolong rumah kerana terlalu malu berdepan orang lain,” kata Lina Saho, 38, adik seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU), Sariat Saho, 52.

Sariat mempunyai tabiat pelik melampau apabila dikatakan gemar memencilkan diri dan pemalu hingga menjadikan kolong di bawah rumah keluarganya di Felda Kemelah, di sini, sebagai tempat tinggal sejak 2002.


Menurut Lina, dia bertanggungjawab menjaga abangnya walaupun tabiat lelaki itu pelik hingga menjadi bualan penduduk tempatan.

 

“Apapun, saya bangga dengan sikap abang yang masih cuba berdikari seperti makan, mandi, membuang air kecil dalam botol sendiri, cuma dia memerlukan bantuan untuk menyikat rambut dan membasuh pinggan. “Abang menghidap penyakit ganjil sejak lahir apabila buih keluar daripada mulut menyebabkan ibu dan bapa kami yang ketika itu masih hidup berusaha mengubatinya dengan pelbagai cara termasuk perubatan tradisional, namun keadaannya tetap sama.
“Apabila meningkat remaja, sikap ganjil dan pemalunya untuk berdepan tetamu yang datang ke rumah kami semakin terserlah lalu dia mula memencilkan diri dan bersembunyi di bawah meja dalam rumah,” katanya.
Menurutnya, pada 2002 ketika arwah ibu masih hidup, abang mula menukar ‘tempat persembunyian’ dari bawah meja ke kolong di bawah rumah hingga sekarang.

 

 

Katanya, ketika itu, kolong di bawah rumah itu hanya berlantaikan tanah serta tidak mempunyai dinding, namun disebabkan kasihan dengan keadaan itu, dia terpaksa menyimen lantai manakala ruang di sekeliling kawasan itu dibina dinding, berkipas dan berlampu.

 

Advertisements