KOTA BHARU – Seorang pendawai elektrik menafikan tuduhan memiliki dadah, sebaliknya mengaku berhalusinasi dengan melihat ular serta singa di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh yang berusia 33 tahun itu dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas tuduhan memiliki 0.3 gram heroin di Jalan Bayam di sini, pada jam 6.45 pagi, 23 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Pada prosiding semalam, Mohd Azreen Abd Rahman bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memberitahu mahkamah bahawa dia mengalami masalah mental.

“Sudah seminggu saya tidak makan ubat. Saya tengok orang macam ular, macam singa. Saya takut akan mencederakan orang. Sebelum ini, saya memang sudah ada rekod (sakit mental),” katanya.

Berikutan pengakuan itu, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly memutuskan untuk menghantar tertuduh menjalani rawatan.

“Mahkamah akan menghantar kamu ke hospital. Kamu nak ubat kan, jadi, hospital akan bagi ubat,” katanya.

Advertisements