PENDANG – Beberapa penduduk yang tinggal berdekatan Kolam Lembaga Pertanian Muda (Mada) kesal dengan sikap segelintir golongan muda apabila sering melihat golongan tersebut melakukan maksiat di tempat rekreasi itu dengan berpura-pura memancing di kolam itu.

Tinjauan mendapati, tempat itu menjadi tumpuan orang ramai dan kaki pancing, namun kadang kala tempat itu dijadikan sebagai tempat golongan terbabit melepaskan nafsu tanpa mengendahkan papan tanda dilarang membuat maksiat dipasang di situ, terutamanya pada waktu malam.

Penduduk, Salahuddin Che Mee, 45, berkata, penduduk sering melihat golongan muda menjadikan tempat itu sebagai tempat melakukan maksiat dengan berpura-pura memancing apabila penduduk mendekati kawasan itu.

“Golongan ini dilihat terlalu mudah menjadikan tempat rekreasi itu sebagai tempat melepaskan nafsu memandangkan kawasan itu terlalu gelap pada waktu malam.

“Tempat itu menjadi tumpuan golongan muda kira-kira jam 8 malam sehingga waktu tengah malam,” katanya.

Menurutnya, kadang kala ada pengunjung yang datang ke kawasan itu dengan meletakan kereta mereka di situ sambil berdua-duaan di dalam kereta, namun penduduk tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan mereka dapat menghidu kedatangan penduduk.

“Saya sudah bosan melihat gelagat mereka di kawasan ini, memandangkan pihak berkenaan tidak memantau kawasan ini dan tiada tindakan sewajarnya diambil bagi mencerahkan kawasan ini,” katanya.

Advertisements