Wanita tinggal bayi  kepada pemandu

ALOR SETAR – Niat pemandu lori menumpangkan wanita berusia lingkungan 30-an bersama bayi lelaki berusia dua bulan diambil kesempa-tan apabila wanita itu meninggalkan bayinya kepada lelaki tersebut.

Itulah yang berlaku kepada Tajuddin Mat Saman, 45, yang kini menjadi penjaga kepada Muhammad Alif Firdaus, 14 bulan, setelah ditinggalkan oleh wanita berkenaan di stesen minyak Tikam Batu, Sungai Petani.

Tajuddin berkata, wanita itu awalnya menahan kereta yang dipandu di Simpang Empat, Kota Sarang Semut kerana tidak mempunyai wang untuk membayar tambang teksi atau bas.


“Saya menumpangkan wanita itu bersama bayinya kerana simpati melihat keadaan mereka yang tidak mempunyai wang tambang.

“Wanita itu minta saya berhenti ketika di sebuah stesen minyak kerana mahu ke tandas dan dia kemudian memberikan anaknya bersama botol susu kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Tajuddin kemudian me-ngambil keputusan beredar setelah menunggu hampir lima jam di stesen minyak itu.

Dia berkata, usaha mencari wanita terbabit turut dilakukan dengan berpatah balik ke tempat wanita itu ditumpangkan, namun gagal.\

“Saya juga membuat laporan polis kejadian ini dan kes dirujuk untuk tindakan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar.

“Sehingga sekarang, saya bersama keluarga menjaga Muhammad Alif Firdaus dan kami telah menanggapnya seperti anak sendiri,” katanya.

Tajuddin berharap ibu kandung kanak-kanak itu tampil bagi proses membuat sijil kelahiran dilakukan.

Dia telah diberi hak penjagaan sementara oleh Mahkamah Kanak-kanak Alor Setar selama sebulan dan sekiranya tiada pihak tampil, dia diberi perintah tetap menjaga kanak-kanak tersebut.

Waris atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kepada Muhammad Alif Firdaus diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Setar, Mohd Basharudin Samsudin dan Rosmini Meh di talian 04-7202370 atau 04-7202351.

Advertisements