KULIM – Sebanyak 22 butir peluru sembilan milimeter dijumpai bertaburan di pinggir jalan dan dalam longkang di Lebuh Raya Kulim-Baling, berhampiran simpang jalan ke Kampung Bukit Sarang Ayam dekat sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim DSP Chin Soo Song berkata sekumpulan pekerja penarik kereta yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di kawasan berhampiran telah menemui peluru-peluru tersebut dalam keadaan bertaburan dan sedikit tertimbus dengan rumput di kawasan berkenaan.


Katanya beberapa anggota Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) yang turut membantu kumpulan lori penarik kereta itu di kawasan kemalangan tersebut mengetahui kes tersebut lalu memaklumkan kepada polis di sini.

“Sebahagian besar peluru-peluru tersebut ditemui di pinggir jalan dan bakinya dalam longkang kira-kira tiga meter dari atas rumput dan keadaan peluru-peluru tersebut walaupun sudah nampak usang tetapi masih boleh digunakan lagi sama ada untuk pistol ataupun senapang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Chin berkata peluru tersebut mungkin ditinggalkan di lokasi tersebut kerana aktiviti pembawa peluru berkenaan sudah dikesan pihak berkuasa maka secara terburu-buru telah membuang peluru berkenaan untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Katanya polis kini menyiasat kes tersebut di bawah Akta Senjata Api dan orang ramai yang mengetahui atau ada maklumat mengenai peluru-peluru berkenaan bolehlah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim melalui talian 04-4906222, bagi membantu siastaan polis. – Bernama

Advertisements