CAMERON HIGHLANDS: Seorang lelaki warga Indonesia sanggup mengambil risiko menyajikan ikan ditangkap menggunakan racun kulat sebelum menikmatinya bersama isteri dan anak di Kampung Terla, di sini, kelmarin.

Sebelum itu, kira-kira 6,000 penduduk berhampiran Sungai Terla dan Kampung Raja merungut apabila bekalan air bersih dirawat melalui loji rawatan di kampung itu terpaksa ditutup gara-gara sungai itu tercemar.

Penduduk yang tidak berpuas hati membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, hasil maklumat diperoleh polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian terbabit.

Menurutnya, hasil soal siasat, lelaki itu akhirnya mengaku mencurah racun jenis ‘tiodan’ di sungai itu dengan niat mahu menuba ikan menyebabkan beberapa spesies ikan mati secara tiba-tiba dan timbul di permukaan air.

Advertisements