TELUK INTAN: Seorang isteri mengelar leher suaminya yang lumpuh dengan pisau lipat sehingga mati sebelum cuba membunuh diri dengan menikam lehernya menggunakan gunting di Taman Eastern Garden di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, mangsa yang menghidap penyakit angin ahmar sejak Oktober tahun lalu dikatakan tidur bersama isterinya di bilik tidur utama rumah mereka yang turut didiami ahli keluarga lain dan kejadian itu disedari apabila pasangan berkenaan tidak bangun awal pagi seperti kebiasaan.

Menantu lelaki pasangan itu, Soo Kam Hon, 46, yang tinggal bersama mereka dan tidur di bilik berasingan curiga apabila kedua-duanya yang kebiasaan bangun seawal jam 7 pagi tidak keluar bilik sehingga jam 8.30 pagi.


Kam Hon yang risau dengan keadaan itu kemudian membuka pintu bilik mereka yang tidak dikunci dan terkejut menemui bapa mentuanya, Khoo Ching Kiong, 74, dalam keadaan berlumuran darah di atas katil dengan kesan kecederaan di leher, manakala ibu mentuanya, Chiang Mooi Chai, 71, juga terbaring tanpa sedarkan diri dengan sebilah gunting terpacak di lehernya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata polis turut menemui sebilah pisau lipat kecil di atas perut mangsa dan siasatan awal mendapati wanita itu mungkin mengelar leher mangsa.

“Wanita itu dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HTI untuk bedah siasat. Polis masih menyiasat punca kejadian,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, polis akan menunggu laporan penuh bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dan menyiasatnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.


Advertisements