Imam terbunuh, masjid Belgium 'diserang' bom petrol

BRUSSELS – Seorang imam terbunuh apabila sebuah masjid Syiah di ibu negara Belgium diserang seorang lelaki dengan bom petrol petang semalam (waktu tempatan).

Masjid itu terletak di kawasan Anderlecht dekat Brussels.

Maklumat awal polis menunjukkan masjid itu diserang menggunakan bom petrol oleh seorang lelaki, yang berjaya ditahan.

Serangan itu adalah yang pertama sejak pembunuhan Abdullah Muhammad al-Ahdai, dalam masjid oleh kumpulan Iran pada 1989.

Datuk Bandar Anderlecht dipetik media tempatan berkata, suspek membaling bom petrol ke arah masjid itu petang semalam waktu tempatan.

Laporan-laporan awal juga menyebut bahawa imam berusia 47 tahun meninggal dunia selepas terhidu asap tebal akibat kebakaran.

Seorang lagi mangsa pula cedera.

Pegawai-pegawai keselamatan berkata, seorang lelaki ditahan berikutan kejadian itu.

“Seorang suspek kini ditahan,” kata jurucakap polis Marie Verbeke dipetik agensi berita AFP.

“Lebih 10 jemaah berada di masjid untuk menunaikan solat ketika seorang dilihat masuk dengan membawa beg,” kata seorang saksi Azzedine Laghmish kepada stesen RTBF, dipetik BBC.

“Dalam beg itu ada satu bekas yang diisi dengan petrol, yang dia baling ke arah bahagian tengah bilik,” kata Laghmish.

“Imam cuba untuk memadamkan kebakaran tetapi terperangkap dalam bilik,” katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri Belgium, Joelle Milquet berkata, beliau terkejut dengan kejadian ini.

Imam itu mempunyai empat orang anak.

Laporan The Telegraph dari UK berkata, kebakaran telah memusnahkan sebahagian besar masjid itu, yang merupakan terbesar di Belgium.

Advertisements