SUNGAI SIPUT (U) – Mayat seorang remaja berusia 17 tahun ditemui tergantung di dalam bilik air rumahnya, di Kampung Muhibbah Fasa 3, di sini, semalam dipercayai membunuh diri.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, kejadian itu disedari bapa mangsa pada jam 12.15 tengah hari.

Beliau pada awalnya menyangka anak bongsu daripada sembilan beradik itu sedang mandi.

Menurutnya, sewaktu kejadian bapa mangsa bersama beberapa lagi ahli keluarga berada di rumah tetapi tidak mengesyaki kejadian seperti itu akan berlaku.

“Pada awalnya bapa mangsa menyangka anaknya itu sedang mandi tetapi selepas beberapa ketika anaknya tidak juga keluar dari bilik air. Bimbang sesuatu tidak diingini berlaku bapa mangsa membuka pintu bilik air dan terkejut melihat anaknya tergantung serta sudah tidak bernyawa,” katanya.

Azman berkata, mayat pelajar tingkatan lima dari sebuah sekolah di Sungai Siput itu ditemui tergantung menggunakan kain Punjabi.

“Bapa mangsa menghantar sendiri mayat anaknya ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat jerutan di bahagian leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Punca sebenar kenapa mangsa mengambil tindakan sedemikian masih belum diketahui dan masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Advertisements