RANTAU PANJANG – Polis menerima laporan berhubung penganggur menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) RM2,500, di Sekolah Menengah Kebangsaan Meranti petang 14 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, polis sedang menyiasat kes berkenaan.

Menurutnya, lelaki berusia 39 tahun dari Machang Gochoh itu mendapat RM2,500 setelah membuat empat salinan kad asal tidak ditahan tetapi disoal siasat .

“Kes penerima bantuan BR1M menerima wang lebih RM500 ini adalah pertama kali dilaporkan di negeri ini.

“Kita sedang membuat siasatan lanjut berhubung laporan yang dibuat di Balai Polis Meranti pada petang kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian petang kelmarin.

Sementara itu, tinjauan wartawan di pusat pengagihan BR1M di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati semalam, berjalan lancar dengan kehadiran 2,000 penerima.

Kelmarin akhbar ini menyiarkan berita seorang lelaki yang juga penganggur mendapat RM2,500 setelah hadir pada majlis pengagihan BR1M kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Meranti.

Kejadian disedari petugas selepas empat penerima terakhir daripada 800 penerima tidak dapat menerima BR1M masing-masing setelah kesemua wang diagihkan.

Selepas semakan dibuat, pemegang kad 2561 membuat empat salinan kad daripada yang asal bagi membolehkannya­ memperoleh RM2,000 lagi.

Berikutan kejadian itu, Pentadbir Mukim Meranti, Abdullah Che Hasan membuat laporan di Balai Polis Meranti kira-kira jam 6.30 petang.

Advertisements