DUA kejutan berlaku apabila pasukan tangga ketiga tercorot Liga Super, Kedah berjaya menyingkirkan T-Team manakala kelab Liga Perdana, Sime Darby memalukan Johor FC pada aksi suku akhir kedua Piala FA, malam tadi.

Kedah mara ke separuh akhir untuk bertemu Kelantan dengan agregat 2-1 selepas menewaskan T-Team di Kuala Terengganu manakala Sime Darby mara dengan agregat 5-3 selepas menewaskan Johor FC 2-1 di Pasir Gudang untuk berdepan juara bertahan, Terengganu.

 Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, penyerang import dari Ghana, Hamidan Mohammed muncul wira apabila dua jaringannya membantu kemaraan Kedah.

Aksi separuh pertama dikuasai Kedah tetapi kekebalan barisan pertahanan T-Team dikemudikan pemain import, Bojan Petric berjaya menyekat asakan barisan serangan pasukan pelawat itu

Kedah akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-64 apabila Hamidan tenang melakukan rembatan kaki kiri menewaskan Syamsuri Mustafa tetapi ia hanya bertahan empat minit apabila T-Team menyamakan kedudukan hasil tolakan Azrul Hazran Amiludin Baki depan pintu gol Kedah.

Namun, Hamidan memastikan Kedah menempah slot ke separuh akhir dengan menanduk masuk hantaran lintang Abdelfatah Safi pada minit ke-80 untuk gol kemenangan pasukannya.

Di Stadium Pasir Gudang, Sime Darby bimbingan Ismail Zakaria selesa mendahului 2-0 hasil dua jaringan penyerang import dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh pada minit kedua dan ke-20 sebelum Johor FC mendapat gol sagu hati menerusi sepakan penalti Fauzi Shaari pada minit ke-77.

Advertisements