Logam susu

CHANGLUN – Terkejut. Itulah perasaan seorang ­pemilik salun kecantikan di sini, apabila mendapati susu cair dalam tin yang digunakan isterinya untuk membancuh air yang dibeli lebih sebulan lalu di sebuah pasar raya mengandungi tompokan hitam dipercayai serbuk logam.

Goh Shau Chen, 30, berkata, selepas diperiksa, dia ­menemui tompokan hitam berkenaan di bahagian bawah selepas susu cair itu dituangkan ke dalam bekas lain.


Menurutnya, perkara itu hanya disedari mereka selepas isterinya, Erni Farida, 27, ­terhidu bau sesuatu selepas meminum air yang dibancuh dengan menggunakan susu berkenaan Sabtu lalu.

Shau Chen, dia kemudian membuka keseluruhan tin susu cair itu bagi melihat apa yang terdapat di dalam tin berkenaan.

“Kami terkejut apabila mendapati ada tompokan ­hitam seakan-akan serbuk ­logam di bahagian bawah permukaan susu itu,” katanya ­ketika ditemui di rumah ­mereka di Pekan Changlun Dua di sini.

Shau Chen berkata, ­mereka juga cuba menghubungi talian khidmat pengguna syarikat pengeluar susu berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut namun ­talian itu tidak dijawab.

“Kami kesal dengan apa yang berlaku dan seharusnya ia tidak terjadi memandangkan tarikh luput susu berkenaan juga masih berbaki hampir lima bulan lagi,” katanya.

Shau Chen pada masa sama meminta pengguna lain supaya lebih berhati-hati dan sebaik-baiknya memastikan susu cair dalam tin seperti itu betul-betul selamat sebelum digunakan.

“Kita tahu banyak kedai minuman yang menggunakan susu cair dalam tin, jadi ­lebih baik peniaga memeriksa susu yang ingin digunakan ­sebelum menyediakan minuman kepada pelanggan ­mereka,” katanya.

Advertisements