ALOR SETAR – Kira-kira 5,000 penduduk kampung dan kawasan perumahan berhampiran Jalan Langgar di sini tidak melepaskan peluang mendapatkan minyak masak ‘percuma’ daripada tangki sebuah lori yang bocor selepas terlibat dalam kemalangan semalam.

Orang ramai dilihat mula membanjiri kawasan tersebut dari pukul 12 tengah hari sehingga pukul 8 malam dan ada yang masih menadah minyak masak tersebut ketika hujan pada sebelah petang.

Lori tangki dari Butterworth, Pulau Pinang yang membawa sebanyak 18 tan minyak masak dianggarkan bernilai kira-kira RM45,000 itu tersadai di bahu jalan selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Kia Sportage dari arah belakang kira-kira pukul 11.55 pagi.

Ketika kejadian, lori tersebut dalam perjalanan menghantar bekalan minyak tersebut ke sebuah kilang untuk proses pembungkusan di Kampung Bukit, Naka di sini.

Pemandu lori, Azizan Hashim, 47, memberitahu, akibat kemalangan itu, bahagian bawah tangki bocor menyebabkan muatan minyak masak tumpah ke jalan raya dan longkang bersebelahan.

Menurutnya, keadaan minyak masak yang tumpah itu menyebabkan pemandu yang lalu lalang di situ mengambil kesempatan menadah minyak masak itu daripada ia terbuang begitu sahaja.

“Tauke saya pun kata tak boleh buat apa-apa dan dia tidak menghalang orang ramai daripada mengambil minyak masak tersebut kerana jika tidak, ia hanya terbuang di jalan,” jelasnya.

Seorang suri rumah, Norhamrina Kadir, 233, berkata, dia ke tempat kejadian selepas mendengar bunyi kuat seperti kemalangan dan mendapati sebuah SUV dan lori tersadai di tepi jalan.

“Saya nampak ada minyak masak tumpah ke jalan dan kerana rasa sayang ia terbuang begitu sahaja, saya terus tadah dan ia disusuli dengan pemandu lain,” ujarnya.

Katanya, dia berjaya mengumpul sebanyak 30 kilogram minyak masak sejak pukul 12 tengah hari dan ia akan dikongsi dengan saudara mara lain.

” Kakak saya akan mengadakan kenduri kahwin pada bulan depan dan mungkin minyak masak ini boleh digunakan untuk kenduri nanti,” katanya.

Penduduk dari Felda Lubuk Merbau, Norhiyah Osman, 35, pula berkata dia yang mula menadah minyak masak itu pada pukul 6 petang berjaya membawa pulang dua botol besar minyak masak.

“Selepas ini saya boleh berjimat kerana tidak perlu lagi beli minyak masak untuk bulan ini,” katanya.

Advertisements