KAJANG: Malang tidak berbau buat seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Semenyih yang menemui ajalnya, kelmarin selepas kepalanya cedera disepak pemain lawan ketika satu perlawanan bola sepak.

Difahamkan, mangsa Afiq Hamizan Abdul Hamid berusia 15 tahun itu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 2.45 petang kelmarin selepas menjalani pembedahan di kepalanya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, dalam kejadian Isnin lalu, mangsa mewakili pasukan sekolahnya dalam kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat (MSSDHL) yang diadakan di sebuah sekolah menengah agama.

Menurutnya, mangsa yang bermain sebagai penjaga gol mewakili sekolahnya itu cedera di kepala selepas terkena sepakan pemain pasukan lawan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Semenyih jam 4 petang untuk rawatan oleh pihak sekolah.
“Bagaimanapun, keadaannya menjadi parah sebelum dihantar ke Hospital Kajang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

 

Advertisements