SUNGAI MANIK: Persiapan untuk menjadi ‘raja sehari’ sudah lengkap termasuk wang hantaran RM8,000, namun hari bahagia sepatutnya dilangsungkan Ahad depan, terpaksa ditunda ke tarikh belum pasti apabila bakal pengantin perempuan terlantar koma di hospital sejak hampir seminggu lalu akibat kemalangan jalan raya.

Zunaidi Mohamad, 36, kini tidak putus-putus berdoa agar tunangnya Siti Rozita Saidin, 26, dari Alor Bakong, Kuala Sungai Manik, di sini, pulih sepenuhnya akibat kecederaan kemalangan jalan raya di Simpang Tiga Kampung Bahagia, di sini, 16 Mei lalu.
Siti Rozita yang masih tidak sedarkan diri, parah di kepala, kaki dan beberapa anggota badan lain selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta.

Ketika ini, Siti Rozita masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan berada dalam keadaan kritikal.
Zunaidi yang bekerja kilang berkata, dia pasrah dengan apa yang berlaku dan berharap bakal isterinya pulih secepat mungkin.
Menurutnya, dia sudah menyiapkan semua kelengkapan perkahwinan, termasuk persiapan kenduri di rumah keluarganya di Felda Melati, Jengka 11, Pahang, yang dijadualkan 3 Jun depan.

 

“Bagaimanapun, majlis sambut menantu di rumah keluarga saya dan majlis akad nikah yang dijadual Ahad depan di rumahnya, terpaksa ditunda ke tarikh lain,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, dia menerima berita kejadian itu petang hari kejadian, daripada bapa tunangnya, Saidin Othman, 70, dan melawat tunangnya di hospital sejak dua hari lalu, namun keadaan tunangnya masih tidak berubah.

 

“Ahli keluarga saya akan berbincang dengan pihak keluarga tunang dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh baru sebaik Siti Rozita sembuh,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara Siti Rozita, Hakim @ Hasim Mohamad, 64, berkata pihaknya juga sudah menyiapkan segala persiapan majlis perkahwinan berkenaan termasuk sudah mengedarkan kad jemputan perkahwinan kepada saudara-mara dan penduduk kampung.
“Bagi keluarga pengantin perempuan, saya memohon maaf kepada saudara-mara dan penduduk kampung di atas penangguhan majlis perkahwinan itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, kini tahap kesihatan Siti Rozita masih membimbangkan, malah hospital memantau kecederaan teruk dialami anak saudaranya itu.

 

Advertisements